"Believe nothing, no matter where you read it or who has said it, not even if I have said it, unless it agrees with your own reason and your own common sense."

Ampun tuanku, sembah patek harap diampun...Patek ingin menyampaikan siapakah PENGKHIANAT sabenar kepada ketuanan Sultan di negara ini...malah dikalangan tuanku pun ada yang bersekongkol dengan mereka kerana di beri habuan yang lumayan...Patek patek yang marhaen dinegara ini masih tetap setia dengan tuanku walau pun difitnah dengan pelbagai tuduhan..ampun tuanku beribu ampun, sembah patek harap diampun..

Saturday, February 26, 2011

Saifuddin perjelas MT Umno 30 alasan nafi hak mahasiswa berpolitik



August 28, 2010
KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah membentangkan 30 alasan yang sering digunakan untuk menghalang pelajar institusi pengajian tinggi dan pensyarah menyertai politik secara aktif.
Dalam penjelasan panjang lebar kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam, Saifuddin berkata, alasan bahawa pelajar akan mengalami gangguan tumpuan dalam pengajian mereka dengan menyertai politik luar adalah tidak benar sama sekali.
“Kalau begitu, orang yang sudah bekerja pun tidak boleh berpolitik sebab takut mengganggu kerja mereka,” kata beliau dalam kertas kerja yang dibentangkan pada mesyuarat MT semalam.
“Punca utama pelajar terganggu akademiknya adalah faktor lain.
“Ada pelajar yang tidak aktif apa-apa pun, tetapi masih terganggu juga akademiknya oleh pelbagai faktor lain seperti ‘clubbing’, putus cinta, murung dan sebagainya,” kata beliau.
Cara berfikir itu, menurut beliau, samalah dengan yang menuduh kokurikulum menyebabkan akademik terganggu dan premis ini telah ditolak oleh kajian, antara penyelidikan kendalian Universiti Harvard.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Saifuddin memberitahu, kertas kerja 80 perenggan itu dengan terperinci menjelaskan pandangan alam, cadangan, matlamat utama, halangan, perkembangan semasa, langkah kehadapan dan faedah membenarkan pelajar IPT berpolitik.
“Kertas itu juga menyenaraikan 30 alasan yang menentang cadangan saya itu dan menjawabnya dengan kemas satu persatu,” kata Ahli Parlimen Temerloh ini.
Saifuddin berkata, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sekali lagi memperlihatkan sikap terbuka beliau untuk membincangkan idea membenarkan mahasiswa berpolitik.
“Saya memuji kenyataan Datuk Seri Najib di mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam bahawa waaupun Kabinet telah membuat keputusan melarang pelajar IPT berpolitik, namun beliau terbuka untuk membincangkannya.
“Datuk Seri Najib jelas memahami realiti politik semasa yang meraikan perbincangan idea-idea,” kata beliau.
Saifuddin berkata, Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga dapat menyelami minda dan imaginasi belia terhadap politik.
“Sikap beliau ini amat signifikan dalam mematangkan demokrasi negara. Inilah corak kepemimpinan politik yang dinanti-nantikan oleh belia kita,” katanya lagi.
Najib juga menyatakan sikap terbuka berhubung idea itu ketika pertemuan Makmal Pemuda BN di ibu negara pagi semalam.
Akhir bulan lalu, Saifuddin memberitahu,idea membenarkan mahasiswa dan pensyarah politik akan dibawa ke mesyuarat MT untuk mendapatkan sokongan.
Bagaimanapun Kabinet dalam mesyuaratnya tiga minggu lalu telah menolak idea berkenaan.
Menjelaskan lanjut alasan-alasannya dalam kertas kerja itu, Saifuddin juga menyangkal bahawa pelajar tidak atau belum matang.
Katanya, definisi matang digunakan dalam undang-undang.
“Contohnya, dalam kes rogol, wanita berumur 16 tahun dikira matang untuk melakukan hubungan seks; dalam kes jenayah, orang berumur 18 tahun tidak lagi dibicarakan di mahkamah juvana; dan orang berumur 21 tahun layak mengundi.
“Jika wanita berumur 16 tahun dikira matang untuk melakukan hubungan seks dan seseorang berumur 18 tahun dikira matang untuk berhadapan dengan undang-undang jenayah, dan katakanlah kedua-duanya tidak memiliki kelayakan untuk menjadi pelajar IPT, maka, adakah wajar untuk mengatakan bahawa pelajar IPT, yang lulus SPM atau STPM atau setaraf dengan cemerlang dan mendapat CGPA yang cemerlang di IPT, adalah tidak matang jika dibandingkan dengan mereka?” katanya.
Dalam hal yang lain, kata beliau, sebaik sahaja seseorang itu melangkah keluar dari IPT dan menjadi guru siswazah, maka, beliau bukan sahaja dibenarkan menjadi ahli parti politik, malahan dibenarkan juga memegang jawatan dalam parti politik.
“Tetapi, beberapa detik sebelum itu, orang yang sama dianggap tidak matang?
“Apabila berumur 21 tahun, pelajar IPT dianggap layak mengundi dalam pilihan raya umum, tetapi, pada masa yang sama dianggap tidak layak menjadi ahli parti politik yang dipangkahnya itu?” katanya lagi.
Saifuddin berkata, jika alasan bahawa biarlah mereka memilih parti politik yang mereka suka selepas tamat belajar, kerajaan perlu melewatkan umur mengundi pelajar iaitu hanya boleh membuang undi selepas keluar IPT.
Malah beliau menolak tanggapan cerita-cerita tentang keburukan akibat pelajar aktif berpolitik, contohnya demonstrasi yang merosakkan harta benda.
“Cerita tentang demonstrasi perlu adil.
“Janganlah kalau ia melibatkan orang kita, maka demonstrasi dibolehkan, tetapi kalau melibatkan orang lain, maka demonstrasi tidak dibolehkan.
“Cerita merosakkan harta benda itu perlu diteliti. Contohnya, pelajar dituduh lari ke dalam masjid dengan tidak menanggalkan kasut. Logiknya, kalau dikejar, manalah sempat hendak membuka kasut!” katanya.
Jelas beliau, pelajar yang berlindung dalam masjid dituduh memecahkan tingkap kaca.
“Sebenarnya, tingkap kaca pecah terkena gas pemedih mata yang ditembak dari luar masjid ke arah pelajar. Ini adalah teknik menakutkan-nakutkan untuk membina ‘culture of fear’ yang tidak baik untuk pembangunan negara,” katanya lagi.
Beliau juga menyangkal bahawa pelajar-pelajar IPT sudah diberi ruang berpolitik melalui politik kampus.
“Politik kampus memang wujud. Sebenarnya, ia perlu ditingkatkan, misalnya dengan membenarkan pelajar melaksanakan sendiri pilihan raya kampus iaitu seperti yang berlaku di sesetengah IPTS kita dan di banyak universiti terbaik di luar negara,” katanya.
Saifuddin berkata, isu sekarang ialah mengiktiraf hak mereka sebagai warganegara yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Politik kampus adalah terhad kepada aktiviti kokorikulum. Penglibatan pelajar dalam politik yang lebih luas akan menyuburkan lagi idealisme mereka dan akan dapat membantu mereka apabila berhadapan dengan dunia pasca-IPT,” katanya lagi.
Berhubung alasan bahawa pelajar akan diperkuda oleh pemimpin-pemimpin politik luar jika menjadi ahli parti, Saifuddin menyoal “siapa suruh pelajar jadi kuda?”
“Jadilah penunggang,” katanya.
Oleh sebab itu, kata beliau, negara harus memberi peluang kepada pelajar sebab mereka adalah sebahagian daripada masyarakat sivil.
“Kenyataan-kenyataan sebegini merendahkan keupayaan intelek pelajar.
“Sebenarnya, menyekat hak politik pelajar juga merupakan langkah memperkudakan pelajar iaitu membuat pelajar tidak boleh bersuara secara politik,” katanya.
Selain itu jelas beliau, tidak ada sesiapa yang mengatakan pelajar perlu mengurangkan fokus ke atas pelajaran.
Malah matanya, tidak ada data empirikal menunjukkan pelajar gagal dalam pelajaran disebabkan berpolitik.
“Ramai yang berpolitik di kampus yang berjaya pada hari ini.
“Ada juga yang tidak berpolitik semasa di kampus yang hari ini tidaklah berjaya sangat. Matlamat ke universiti ialah untuk menjadi insan yang baik, termasuk dalam bidang politik,” katanya.
Alasan-alasan lain dijawab Saifuddin ialah:
ALASAN: Politik kampus adalah ruang pelajar mengangkat idealisme pelajar sedangkan politik luar akan membunuh idealisme tersebut.
Jawapan: Cadangan ini mahu meluaskan ruang yang sedia ada untuk meningkatkan partisipasi pelajar dalam demokrasi. Persoalannya, apakah idealisme pelajar sekarang? Apakah pula contoh idealisme Umno/BN yang membunuh idealisme pelajar? Sebenarnya, pelajar juga mampu mencorakkan politik luar. Contoh-contohnya wujud dalam sejarah gerakan pelajar di luar negara dan juga di dalam negara.
ALASAN: Kalau pelajar menjadi ahli parti politik, mereka tidak lagi bebas mengkritik parti mereka.
Jawapan: Itu masalah parti tersebut yang tidak boleh dikritik, bukan masalah pelajar. Atau, kalau pelajar memilih untuk tidak mengkritik, maka, itu masalah peribadinya. Pelajar boleh memilih parti mana yang sesuai dengan dirinya. Apa yang menariknya ialah orang yang menggunakan alasan ini terkenal dengan sikapnya yang tidak menggalakkan pelajar mengkritik. Merekalah yang selalu melabelkan pelajar yang mengkritik sebagai “radikal”, “anti-establishment” dan “pro-pembangkang”. Jadi, apabila ia menggunakan alasan ini, ia hanya menunjukkan ini adalah alasan yang sengaja diadakan-adakan sahaja. 
ALASAN: AUKU sebenarnya yang melindungi idealisme pelajar selama ini dan membentuk kepimpinan pelajar dengan acuan sendiri.
Jawapan: Apakah contoh idealisme pelajar yang dilahirkan oleh AUKU? Acuan apakah kepimpinan pelajar hari ini? Idealisme pelajar bukannya sekadar menuntut kurangkan bayaran PTPTN, harga makanan asrama atau isu bas. Idealisme pelajar adalah berasaskan perjuangan yang berdasarkan kecintaan terhadap nilai-nilai muluk seperti kebenaran, keadilan dan perpaduan, serta kebencian terhadap ciri-ciri buruk seperti kepalsuan, kezaliman dan perpecahan. Antara lain, idealisme adalah berlandaskan ayat al-Quran tentang menyeru kepada kebaikan (‘amal makruf) dan mencegah daripada keburukan (nahi mungkar). Kebanyakan kajian tentang AUKU Pindaan 1975 tidak menunjukkan yang ia melahirkan idealisme pelajar. Jika benar acuan yang dilahirkan AUKU itu positif untuk kerajaan, maka, mengapakah ia seperti tidak diterjemahkan dalam keputusan pilihan raya umum (contohnya Pilihan Raya Umum 2008) yang menyaksikan sokongan pengundi muda lebih condong kepada pembangkang?
ALASAN: Apabila pensyarah berpolitik, maka ia mengganggu proses pengajian di universiti kerana mereka akan cuba pengaruhi pelajar. Pensyarah berlainan parti akan gagalkan pelajar berlainan parti.
Jawapan: Universiti sudah lengkap dengan kaedah untuk mengawal mutu pengajaran dan pembelajaran. Pensyarah yang menggagalkan pelajar dengan alasan politik tidak layak menjadi pensyarah. Hukumlah beliau. Pokoknya, alasan ini menunjukkan sikap tidak percaya kepada pensyarah. Pensyarah dilihat lebih rendah daripada guru siswazah (yang pernah menjadi pelajarnya) yang kini dibenarkan aktif berpolitik. Pensyarah mempengaruhi pelajar IPT? Kalau begitu, silaplah kita membenarkan guru siswazah aktif berpolitik. Ini kerana, kalau pelajar IPT boleh dipengaruhi, ini kan pula murid sekolah. Sekali lagi, alasan ini berpunca daripada sikap tidak percaya kepada pensyarah.
ALASAN: Pendekatan populis ini tidak menguntungkan masyarakat kampus, sebaliknya mengundang bahaya kepada sistem pendidikan yang akan dipolitikkan.
Jawapan: Apa salahnya populis kalau ia bermatlamat untuk kebaikan rakyat dan bukannya diri sendiri? Ia lebih baik daripada tiada apa-apa pendekatan atau langsung tiada apa-apa pendirian. Kenapa perlu dipisahkan pendidikan dengan politik? Sekarangpun kita ada politik di kalangan universiti, pensyarah dan pelajar. Apa yang kita tidak mahu ialah politik ampu dan ragu, serta politik sempit dan kotor. Kalau adalah tempat terbaik untuk menjana politik ilmu dan baru, serta politik segar dan bersih, maka universitilah tempat yang terbaik. Alangkah anihnya, jika amanah besar itu ditolak oleh universiti dan sebaliknya diserahkan kepada orang lain.
ALASAN: Kalau semua pelajar berpolitik akan timbul lebih banyak masalah.
Jawapan: Pertama, apa masalahnya? Kedua, siapa kata semua pelajar? Ketiga, pelajar yang betul-betul aktif berpolitik bukanlah kumpulan yang besar. Keempat, apakah sekarang ini langsung tidak ada masalah?
ALASAN: Bayangkan kalau semua pelajar bebas bercakap apa saja, apa akan jadi pada keamanan negara? Kita banyak isu sensitif.
Jawapan: Pertama, kita mempunyai pelbagai undang-undang yang mencukupi untuk mengawal keadaan, seperti Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya. Di IPT pula terdapat kaedah tatatertib. Kedua, kita telah lama merdeka. Kita perlu belajar berbincang isu-isu (yang dikatakan) sensitif dan bukannya menyapunya di bawah tikar.
ALASAN: Majoriti pelajar “anti-establishment”.
Jawapan: Bukankah sejak hampir satu dekad ini, keputusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA hampir 100 peratus dimenangi oleh kumpulan (yang dikatakan) pro-Aspirasi? Jadi, tidak betullah jika dikatakan majoriti pelajar adalah “anti-establishment”. Kalaupun benar pelajar “anti-establishment”, maka, sepatutnya difikirkan bagaimana untuk mengelakkan daripada “establishment” dibenci oleh pelajar. Kecualilah jika “establishment” memang tidak mahu atau tidak boleh dikritik.
ALASAN: Kita perlu lihat pro dan kontra perkara ini.
Jawapan: Maknanya kita perlu lihat pro dan kontra jaminan hak berorganisasi dalam Perlembagaan? Usahlah terlalu mudah menggunakan strategi pro dan kontra dalam penghujahan. Kalau begitu, nikahpun ada pro dan kontranya. Cara berfikir ini sekadar untuk menimbulkan alasan tidak bersetuju sahaja atau sengaja mengada-adakan alasan atau membesar-besarkan alasan semata-mata.
ALASAN: Pelajar Melayu sahaja yang minat politik. Pelajar Cina dan India lebih tumpu kepada pelajaran.
Jawapan: Ini pendapat yang berunsur perkauman. Seolah-olah kaum lain tidak endahkan politik. Sebenarnya, pelajar bukan-Melayu juga berminat dan aktif dengan politik.  
ALASAN: Pelajar akan hilang pendekatan non-partisan.
Jawapan: Persoalan menjadi ahli parti politik adalah persoalan individu. Persoalan “non-partisan” pada peringkat organisasi dan gerakan mahasiswa adalah persoalan berbeza dan boleh dikekalkan. Malahan, secara individu dalam parti politikpun masih boleh mengambil pendekatan bi-partisan, contohnya, seperti dalam Kongres dan Senat Amerika Syarikat di mana seorang Demokrat tidak semestinya menyokong bil yang dibawa oleh seorang Demokrat, hatta oleh Presiden Demokrat.
ALASAN: Bukan semua pelajar hendak menjadi ahli parti politik.
Jawapan: Siapa pula yang kata “semua”? Ini semata-mata untuk membenarkan siapa yang mahu sahaja, walaupun ia minoriti. Majoriti yang tidak mahu tidak patut menghalang minoriti yang mahu. Sebaliknya, dalam amalan demokrasi yang sihat, majoriti melindungi hak minoriti.
ALASAN: Negara maju mempunyai latar belakang yang berbeza dengan kita. Kita tidak boleh meniru mereka.
Jawapan: Janganlah menjadi bodoh lalu meniru membuta tuli. Tapislah. Pilihlah. Bukankah ada konsep best practise? Kita belajar apa yang baik. Apa yang buruk dijadikan sempadan. Baik dan buruk itu perlulah diukur dengan neraca kebenaran, dan bukannya dengan neraca denial.
ALASAN: Pelajar kurang pengetahuan am.
Jawapan: Sejak bila pula untuk menjadi ahli parti politik memerlukan seseorang itu lulus kertas Pengajian Am?

Wednesday, February 2, 2011

Nah Tun Madir, jawapan kepada kenyataan kamu

TGNA: Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir

 
Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti.

Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. Firman Allah SWT :

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi.

Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Firman Allah SWT :

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW.

Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh?

Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman :

وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ

Yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya :

فرقت به جماعتهم!

Yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang?

Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa.

Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?

Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor.

Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.

Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama.

Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan. Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : اللهم قد بلغت (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)

Sekian.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Jika Anda terlepas.....ada ulang tayang disini????

Lagi disini

Tambah satu lagi........lepas ni...lu fikir la beb....

RPK Speaks His Mind - Altantuya Statutory Declaration