Saturday, January 22, 2011
Debat?? sorry... dalam UMNO hanya ada BODEK!
DEBAT ANWAR – NAJIB
Ditulis oleh Tongkat Bahaman
Debat politik secara terbuka bukanlah sesuatu yang baru. Dua ribu tahun yang lalu masyarakat Athens telah pun menjadikan perdebatan secara terbuka ini bagi memberi pilihan terbaik untuk rakyat mereka. Di Amerika dan England berpuluh-puluh tahun lalu ia telah menjadi amalan menyemarakkan sistem demokrasi anutan mereka.
Dalam isu debat antara Anwar – Najib, jika kita banci pendapat rakyat sudah tentu majoriti akan minta agar ia diadakan. Ini selaras dengan slogan yang sering dilaung-laungkan kerajaan “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” Kita tidak nampak sebarang sebab untuk Najib berdolak dalih mengenai cabaran ini.
Tidak ada sebab juga mengapa Najib perlu takut untuk berdepan dengan Anwar! Hadiahkanlah sebuah kesempatan paling berharga buat rakyat, menyaksikan detik bersejarah ini. Benar-benar rakyat ingin menyaksikannya. Biarlah ia menjadi satu perkembangan baru ke arah pembangunan politik yang lebih sihat di negara ini.
Apabila Najib berdolak dalih untuk mengelak, rakyat sudah dapat membaca bahawa Najib yang selalunya gemar berseloka, tidak sanggup berdepan dengan Anwar. Kemunculan KJ dan Nazri Aziz pula dilihat sebagai langkah untuk menyelamatkan air muka boss mereka sekaligus juga membodek.
Dalam UMNO tidak pernah ada budaya debat. Yang ada adalah budaya angguk dan bodek. Bila boss buat sedikit lawak, walaupun tidak lucu satu dewan ketawa berdekah-dekah. Jika ada idea baru dari muka baru cepat-cepat dicantas. Sebarang komen dilihat sebagai kritikan. Setiap kritikan adalah ancaman. Dalam mesyuarat UMNO, bukan sahaja tidak ada perbahasan malah yang ada drama “cadang.. sokong.. dan cadangan ditutup” 15 minit mesyuarat selesai.
Pemimpin-pemimpin UMNO berfikir bahawa semakin bodoh ahli-ahli UMNO maka semakin mudah mereka dapat mengendalinya “macam kerbau…” Sebab itu media-media arus perdana tidak bekerja membangunkan fikiran sebaliknya memperbodohkan rakyat. Lagi bodoh lagi bagus. Lagi bodoh lagi senang suap. Lagi bodoh lagi senang kelentong.
Rancangan 100 hari yang dicadangkan Anwar kali ini benar-benar suatu yang menakjubkan. Belum pernah tercetus sebelum ini yang memberi tumpuan secara objektif terhadap kepentingan rakyat. Ia akan menjadi lebih anjal jika rakyat dapat memahaminya dengan jelas. Rancangan ini juga anjal terhadap menjana pertumbuhan ekonomi negara, pendapatan benar isirumah dan sokongan terhadap penurunan kos pihak swasta.
Rancangan ini akan menamatkan ISA. Sebuah akta yang merembat pemimpin-pemimpin progresif negara berwibawa sebelum ini. Akta warisan penjajah yang berasal dari Undang-Undang Darurat 1948 yang digunakan oleh rejim kolonial Inggeris melumpuhkan gerakan progresif di Malaya suatu ketika dulu. Selepas itu ISA menjadi alat UMNO pula bagi musuh-musuh politiknya atas alasan palsu “keselamatan negara”. Sepatutnya pemimpin UMNO perlu melihat lebih jauh kerana sekiranya kuasa bertukar tangan dan tumpas, sekurang-kurangnya ISA tidak akan membidas !
Rancangan pengambilan Asset Lebuh Raya oleh Khazanah dan KWSP yang dicadangkan dalam Rancangan 100 hari itu juga suatu yang dinanti-nantikan rakyat. Ia akan mengurangkan beban kos begitu besar yang ditanggung oleh isirumah/swasta selama ini.
Harga barang dan perkhidmatan juga akan menggelungsur turun kerana selama ini kos angkutan ini telah dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk harga di pasar yang ditentukan pengeluar. Kos ini juga sebenarnya suatu hambatan kepada pertumbuhan KDNK kerana ia mengekang luncuran aktiviti ekonomi. Penurunan kos juga akan memberi Malaysia lebih daya saing secara berbanding kerana harga domestik produk yang lebih rendah di samping nilai buruh yang lebih baik.
Mengurangkan atau membebaskan kos ini dari ditanggung oleh rakyat akan menyebabkan ekonomi mampu bertumbuh lebih pantas dan rakyat akan menikmati kos sara hidup yang lebih rendah. Secara tidak langsung pendapatan benar isirumah bertambah baik.
Pemimpin-pemimpin UMNO dan BN tidak pernah merasa kesengsaraan yang dialami oleh rakyat termasuk kakitangan kerajaan bergaji tetap. Keperitan hidup yang berpunca oleh kos sara hidup yang tinggi mengheret mereka kepada gejala rasuah! Kerana tekanan hidup mereka tidak peduli halal dan haram rezeki yang mereka bawa balik untuk keluarga.
Tidak ada lagi Jabatan Kerajaan yang tidak rasuah termasuk Jabatan Agama Islam. Tidak usah kita menuding jari kepada anggota polis yang menahan motorsikal dan kereta di lorong-lorong sunyi atau mengganggu pekerja-pekerja asing untuk pau gaji mereka. Dalam UMNO, rasuah telah jadi air minum. UMNO hanya perangi rasuah dengan papan-papan tanda bagi mengelirukan rakyat. Papan tanda ini sendiri satu projek rasuah yang lumaian tendernya.
Pendedahan Ketua Audit Negara bahawa jumlah nilai rasuah atau tirisan yang berlaku dari wang perbendaharaan negara di Malaysia adalah sebanyak RM28,000,000,000 (dua puluh lapan billion setahun) menunjukkan ia satu ancaman yang besar terhadap rakyat.
Memerangi rasuah secara habis-habisan dalam Rancangan 100 hari itu paling tidak ia dapat mengurangkan kesan tirisan ini yang bukan sahaja ditanggung oleh rakyat secara langsung malah sebenarnya telah memberi kesan berganda kepada rakyat yang perlu membayar harga yang lebih tinggi bagi setiap barangan dan perkhidmatan yang mereka gunakan. Harga yang tinggi itu termasuk kos rasuah yang terlibat dalam transaksi yang melibatkan orang yang berkuasa dengan pihak kedua yang mungkin terdiri daripada pengusaha-pengusaha swasta.
Rancangan 100 hari itu juga sebenarnya suatu yang sangat hebat, dicetuskan oleh orang-orang yang benar-benar pakar melihat reformasi bukan sahaja pada soal pemimpin tetapi juga pada sistem dan nilai.
Begitu juga dengan rancangan mengembalikan penghormatan rakyat terhadap guru. Ia boleh dilihat sebagai satu langkah awal ke arah itu. Guru adalah agen pembinaan insan paling mulia. Jika langkah awal ini berjaya, guru-guru tidak lagi perlu menjual buku-buku kerja di sekolah atau mengajar tuisyen demi untuk mencari pendapatan tambahan keluarga.
Imej guru sebenarnya telah hancur sejak tahun 1980an lagi, selepas Dr. Mahathir memperkenalkan dasar Malaysia Incorporated. Bila Malaysia sudah jadi sebuah syarikat korporat, semua orang termasuk guru juga ingin hidup mewah. Pengetua dan guru-guru mula berlegar-legar di stock market.
Jika rancangan awal ini berjaya, pengetua-pengetua sekolah juga tidak perlu ambil komisyen jualan daripada pengedar buku di sekolah. Suatu ketika dulu golongan pendidik begitu dihormati dalam masyarakat. Panggilan “cikgu” kekal hingga di saat dia sedang nazak. Hari ini guru di pandang sebelah mata… !
Najib tidak perlu berdolak dalih. Pelan 100 hari ini adalah suatu yang masuk akal. Sebagai pemimpin tertinggi ia perlu berani turun gelanggang. Tidak perlu hantar KJ atau Nazri kerana kedua-dua bocah ini sama sekali bukan lawannya.
Rakyat ingin melihat Najib menikam Anwar di gelanggang jika benar rancangan Anwar ini suatu yang karut yang boleh membawa negara muflis. Tidakkah angka hutang negara yang sudah melebihi 53 % berbanding KDNK kita itu satu indikator ke arah negara muflis ? Bukankah Dasar 19 Program Penjualan Bon baru juga telah meningkatkan hutang tambahan negara bernilai RM58.1 bilion.” Juga akan membebankan rakyat ?
Rakyat sebenarnya sedang memerhati segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan termasuk segala operasi saman di jalan-jalan raya. Lebuh raya telah menjadi lukah menjana hasil dan bukan demi keselamatan rakyat. Jika untuk keselamatan banyak lagi cara yang boleh dilakukan termasuk mengenakan sistem “demerit mata” seperti yang dilakukan oleh banyak negara-negara di dunia. Semakan semula cukai pendapatan secara berulang kali terhadap isirumah dan mengenakan cukai dan taksiran tambahan juga sebenarnya disedari terutama bagi orang-orang yang tinggal di bandar.
Pemimpin-pemimpin BN tidak tahu bagaimana peritnya rakyat bekerja untuk mencari wang. Segala pendapatan mereka dihisap dengan begitu rakus oleh pihak kerajaan dalam bentuk cukai, lesen, saman, bil-bil, denda dan sebagainya.
Kepada kedua-dua bocah iaitu Nazri dan KJ kami ingin berpesan supaya jauh dari gelanggang ini. Jangan kacau daun. Rakyat ingin menyaksikan pertikaman antara Anwar dan Najib. Rancangan 100 hari oleh Anwar sebenarnya membawa cahaya baru untuk rakyat Malaysia terutama rakyat yang miskin. 53 tahun merdeka dalam sebuah negara yang kaya, namun rakyatnya tetap susah dan sengsara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment