

Inilah yang berlaku pada 9 Julai.
Tidak perlu Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengemukakan video untuk membuktikan sebaliknya kerana begitu banyak rakaman yang sudah sedia ada dalam laman-laman blog untuk tatapan seluruh dunia.

Kalau masih tidak memadai, mungkin ada pihak perlu memberi peringatan bahawa sebuah keluarga kini berkabung kerana kehilangan ketua keluarga mereka yang menyertai perhimpunan BERSIH 2.0.
Kematian allahyarham Baharuddin Ahmad diselubungi dengan pelbagai dakwaan namun hakikatnya ialah beliau menemui ajal semasa asakan polis bagi menyuraikan sebuah perhimpunan bersih dan aman.
Namun semua fakta ini tidak akan memberi kesan kepada Najib, Hishamuddin dan Ismail kerana mereka terpaksa mempertahankan kredibiliti Polis Diraja Malaysia.

Ketua Polis Negara sebelum ini menafikan Anwar ditembak dengan gas pemedih mata, sungguhpun visual dan keterangan saksi menunjukkan keadaan sebaliknya.
Hishamuddin pula enggan mengakui polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia ke perkarangan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu.
Tentunya Najib dan Hishamuddin tidak mahu mengambil tanggungjawab di atas sebarang kekerasan polis sungguhpun apa yang berlaku Sabtu lalu lebih berpunca daripada keputusan-keputusan yang dibuat oleh mereka berdua.
Persoalan asas ialah bila dan pada tahap mana perhimpunan aman BERSIH 2.0 bertukar menjadi ganas Sabtu lalu?

Namun “keganasan” yang berlaku adalah pada satu pihak sahaja. Tidak ada tindak balas daripada rakyat yang menjadi sasaran.
Respon paling “agresif” beberapa peserta BERSIH ialah melontar balik sarung gas pemedih mata ke arah polis atau membuangnya ke dalam longkang dan sungai berdekatan.

Hakikat bahawa polis akan menggunakan kekerasan menjadi satu kepastian jauh sebelum 9 Julai menyingsing.
Ia menjadi satu hakikat apabila Hishamuddin bingkas mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebuah pertubuhan haram minggu lalu.

Apa yang jelas ialah Hishamuddin dan Najib menggunakan segala aparatus polis untuk memaksa penganjur BERSIH 2.0 membatalkan perhimpunan mereka, dengan disokong oleh media arus perdana dan institusi awam yang lain.

Najib dan Hishamuddin juga menerima tamparan apabila Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil peranan negarawan dan berjaya “memujuk” BERSIH 2.0 membatalkan perarakan di jalan raya.

Namun belum sempat rakyat menarik nafas lega, gandingan sepupu ini mengisytiharkan bahawa BERSIH 2.0 pertubuhan haram dan tidak layak memohon permit.

Tujuan arahan itu adalah jelas – Perdana Menteri cuba menyempitkan gerakan BERSIH 2.0 kepada sesuatu yang didalangi oleh pembangkang dan bukannya cetusan suara rakyat.
Najib memberi alasan kononnya Stadium Merdeka tidak boleh digunakan oleh BERSIH 2.0 kerana ia adalah mercu atau simbol negara, tidak masuk akal.

Apakah Justin Bieber lebih berhak menggunakan Stadium Merdeka daripada ribuan rakyat negara ini yang mahu menyuarakan keperluan pilihan raya yang adil dan telus secara aman?
Tentunya tidak. Namun inilah alasan yang dijaja oleh Najib kepada penyokong-penyokong Umno, ahli pertubuhan silat dan sebagainya, sehari selepas perhimpunan BERSIH 2.0.

Ini kerana Stadium Merdeka adalah kawasan “neutral” dan adalah “milik” rakyat Malaysia serta bukan di bawah telunjuk mana-mana parti politik.
Apabila penganjur mengambil ketetapan ini, maka arahan dikeluarkan kepada pihak polis untuk melakukan apa yang perlu bagi mematahkan rancangan BERSIH.

Perintah mahkamah diperolehi untuk menghalang penganjur dan pemimpin politik tertentu daripada memasuki Kuala Lumpur. Ibu negara seolah-olah dalam keadaan darurat.
Dengan kongkongan sebegitu, tidak hairanlah pada 9 Julai, pancutan air berkimia, gas pemedih mata polis menunggu puluhan ribu rakyat pelbagai kaum yang keluar beramai-ramai menghala ke Stadium Merdeka.

Najib harus menerangkan bagaimana satu “perjalanan demokrasi” oleh rakyat untuk dua tiga jam di beberapa kerat jalanraya boleh menjadi isu keselamatan negara dan mendatangkan kerugian berbilion ringgit kepada peniaga, jika tidak ada provokasi polis!
Jika polis telah memberi kerjasama kepada lebih 5,000 pengawal yang disediakan oleh penganjur BERSIH untuk mengawal lalu lintas dan aspek keselamatan lain, apakah kita akan menyaksikan adegan-adegan yang terpampang di Internet sekarang.

Akibat agenda politik Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, puluhan ribu rakyat yang “berani” menyokong BERSIH seolah-olah dikumpulkan di Kuala Lumpur dan “dihukum” dengan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia.
Lebih 1,600 orang ditangkap untuk diheret ke mahkamah, seorang mati dan tidak kurang yang menyimpan parut luka atau kenangan “ikhlas”dari polis.

Tidak dinafikan keganasan berlaku, tetapi siapa yang mencetuskannya dan siapa pula yang mengganas?
Bak kata Karam Singh Walia dari TV3: Siapa pula yang melontar batu dan menyembunyi tangan?
No comments:
Post a Comment