Oleh Puspawati Rosman (http://www.merdekareview.com)

Suatu hari, saya ternampak barisan buku tebal berwarna putih dan biru berjudul "My Side of History" diletakkan di bahagian rak yang paling atas. Buku tersebut ialah memoir yang ditulis oleh Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, mantan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya. Waktu itu, buku tersebut berharga RM60.00. Disebabkan kekurangan wang, saya telah meminta seorang pekerja Pekan Buku supaya menyimpan senaskhah buku tersebut untuk saya selama seminggu sementara saya mendapatkan wang.
Buku habis dijual?
Apabila saya kembali semula ke Pekan Buku pada minggu yang berikutnya, saya mendapati buku tersebut tidak lagi berada di atas rak. Sangka saya, buku tersebut sudah habis dijual. Walau bagaimanapun, saya kemudiannya telah diberitahu oleh penjual buku bahawa buku tersebut telah dilarang penjualannya oleh pihak kerajaan persekutuan "sehingga waktu yang

Reaksi spontan saya selepas diberitahu oleh penjual buku tersebut ialah, ketawa.
Sehingga kini, setiap kali isu Chin Peng dibangkitkan, akan ada suara-suara marah yang melaungkan betapa kejamnya komunis, kejamnya Chin Peng, dan beliau seharusnya diharamkan untuk menjejakkan kakinya di tanah air kita sehingga mati.
Maafkan saya, kerana saya tidak dapat berkongsi perasaan yang sama.
Semasa kecil, saya diajar oleh media arus perdana bahawa komunis dan Chin Peng adalah orang jahat dan pengganas. Tetapi, apabila semakin mendewasa, perasaan itu makin lama makin hilang, dan diganti dengan perasaan ingin tahu dan keliru dengan penentangan komunis di negara kita. Mengapa?
Kerana sikap "double-standard" kerajaan.
Benci Chin Peng lebih daripada penjajah?

Walaupun negara kita mempunyai sejarah "berperang" dengan PKM dan sejak itu komunisme selalu dikaitkan dengan keganasan, tetapi nampaknya dari sudut lain, pemimpin-pemimpin negara kita seolah-olah sudah tidak kisah lagi dengan ancaman komunisme, apabila kita berbaik-baik serta menandatangan berbagai-bagai perjanjian perniagaan dengan negara-negara komunis. Negara-negara lain yang pernah "mengganas" dan bertindak kejam terhadap rakyat negara kita seperti Jepun juga sudah lama dimaafkan. Malah, teknologi mereka digunakan secara meluas oleh kita.
Selain daripada itu, mantan ahli PKM yang lain, ramai yang telah diampunkan dan dibenarkan menetap dan menghembuskan nafas terakhir di sini.
Maka saya membuat kesimpulan bahawa Chin Peng hanyalah satu simbol kebencian yang direka oleh orang-orang tertentu.
Tugu Negara
Beberapa bulan lepas saya pernah menulis tentang Tugu Negara. Saya mempersoalkan dan mengajak para pembaca untuk menilai sendiri rasional di sebalik wajah-wajah yang dibentuk di Tugu Negara. Jika diamati betul-betul, wajah-wajah yang berdiri hampir kesemuanya berwajah Mat Salleh atau kacukan, sehingga menimbulkan persoalan samada mereka berbangsa Malaysia atau tidak. Manakala, yang berbaring atau "mati" pula kesemuanya berwajah Asia.

Selepas tulisan tersebut diterbitkan, saya menerima banyak reaksi daripada pembaca. Ada yang bersetuju dengan saya, tetapi ada juga yang marah-marah. Mereka menyoal saya kembali - jika Chin Peng bukan pengkhianat, maka adakah keturunan mereka yang berjuang menentang komunis, adalah pengkhianat?
Saya berpendapat bahawa soalan itu adalah soalan yang salah. Soalan yang patut kita tanya sekarang ialah, perjuangan menentang komunis untuk siapa? Adakah perjuangan menentang komunis adalah perjuangan kita atau sekadar berjuang atas desakan orang luar? Tugu Negara dicipta untuk siapa? Siapa wira sebenar dalam cerita ini?
Kita jangan lupa, PKM pernah membantu kerajaan menentang Jepun. Malah, PKM berganding bahu dengan kerajaan dan British untuk memerangi Jepun di negara kita. Hanya selepas PKM menunjukkan penentangan terhadap British, PKM dianggap sebagai antagonis di dalam cerita.
Kami sudah letih menunggu

Lagipun, kini Chin Peng sudah berusia 85 tahun. Sudah tua dan uzur. Harapannya hanyalah untuk kembali ke Malaysia, melawat kampung halaman, saudara mara dan kubur kedua-dua ibubapanya. Kalau boleh, beliau juga mahu menghembuskan nafas terakhirnya di sini. Sukar sangatkah untuk membenarkan permintaan itu?
Pada pendapat saya, kerajaan kita dan sebilangan rakyat kita tidak perlu takut dan marah-marah lagi dengan Chin Peng. Mungkin sukar untuk warga emas di negara kita melupakan era darurat dan saudara mara yang telah terkorban akibat perang itu, tetapi bagi generasi baru, kami perlu bergerak ke hadapan, dan kami tidak mahu memulakan langkah kami dengan perasaan benci dan dendam.
Bak kata orang-orang tua, "sedangkan Nabi juga mengampunkan umatnya, inikan pula manusia biasa".
*Puspawati Rosman ialah seorang peguam, juga Ketua Projek Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang Pusat Bantuan Guaman (PBG).
POSTING ASAL
http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=10517
No comments:
Post a Comment