Benar, Tan Sri Isa Samad menang besar di Bagan Pinang. Semua pihak akur yang Isa memang sukar digugat di Bagan Pinang, bahkan di seluruh kawasan parlimen Telok Kemang, yang beliau adalah Ketua Bahagiannya. Menawan kerusi ini dari Isa, semacam hendak merampas Permatang Pauh dari DS Anwar.
Bukan sahaja pihak lawan, bahkan MB Mohd Hassan dan tidak keterlaluan kalau dikatakan DS Najib, Presiden Umno itu pun tak boleh cabar Isa di situ. Sebab itu hanya dituruti saja kehendak penyokong tegar Isa.
Sebab itu, Umno tidak ada pilihan kecuali untuk meletakkan Isa juga, meskipun disanggah kedua-dua mantan Presiden, Tun dan Timbalannya, Ku Li. Mentelahan, setelah kalah 7-0 dalam p/raya kecil di Semenanjung dan 4-0 di tangan PAS, Umno tekad dan desperat untuk menang, walau dengan apa jua cara pun. Persetankan pengkritik.
Formula mereka mengena. Bahkan mereka untung besar. Pimpinan Umno bersorak dan berkokok sekeliling kampung. Lama mana media akan mainkan belum pasti.
Umno akan berhenti bersorak ketika mereka sedar dari lamunan dodoian bahawa Bagan Pinang, bukan Malaysia. Aduh! Yang menang pun, mengikut ramai pundit politik bukan Umno/BN tetapi Isa Samad!
Justeru pemimpin Umno sedar bahawa Isa tidak boleh dijadikan ikon membaik pulih imej rasuah mereka. Isa juga tidak dapat memenuhi hasrat Najib untuk menjadikan Port Dickson Bandar Tentera Darat. Sebabnya? Orang tempatan lebih mahu menggelarkan PD sebagai Bandar Lalat mengikut satu rencana dalam Kosmo (10 Okt). Sah seperti kempen PR.
Sememang Isa adalah peribadi yang rata-ratanya disenangi banyak pihak. Orangnya mudah bicaranya tidak canggih seperti juga pemikiranya. Namun Umno sendiri tahu bahawa Isa bukanlah tokoh yang hendak di’ikonisekan’ Umno. Isa adalah sebaliknya dari cita-cita pembaharuan mereka. 22 tahun menjadi MB bukan masa yang singkat. Tapi Isa gagal menjadi mercu-tanda atau lambang kemegahan Umno.
Tidak banyak yang mampu dibariskan Umno bagi memperagakan pencapaiannya. Sebaliknya setiap hari kempen menyaksikan jentera penerangan PAS/PR menyenaraikan kepincangan, ketimpangan dan ketidaksudahan kerja tangan Isa. Masih banyak yang berbaki yang tidak sempat didedahkan kempen Pakatan.
Samada kegagalan itu akibat rasuah, kronisme atau pendeknya ketidakcekapan kepemimpinannya atau ’Plain Incompetency’ dalam bahasa inggerisnya, dengan izin, pengundi Bagan Pinang tidak peduli samasekali.
Nah, sekarang Najib berdepan dengan dilema besar. Umno dikatakan akan kembali releven kerana kemenangan Isa Samad. Semacam mendapat talian hayat dengan Isa. Umno yang mengambil tindakan disiplin menghukum Isa kerana politik wang atau rasuah, kini terpaksa bersandarkan Isa untuk membenteras imej Rasuah parti Melayu terbesar itu. Ini menyeksa Najib.
Bahkan mungkinkah Najib terpaksa mengintai-ngintai peribadi-peribadi seperti Isa. Mungkin mantan Ketua Menteri Melaka, mantan MB Pahang dll, andainya berlaku pulak pilihanraya kecil lagi di negeri-negeri Umno/BN ini. Apakah golongan dari regim lama ini yang akan diharapkan menghidupkan Umno kembali seperti yang ditunjukkan di Bagan Pinang?
Masih banyak kerusi-kerusi seumpama Bagan Pinang yang Umno masih boleh menaruh harap untuk menang besar di Negeri Sembilan, Melaka atau Johor. Kemudian berkokok kuat-kuat bahawa orang Melayu dan India telah kembali kepangkuan Umno/BN. Najib silap dan partinya pun silap membuat ektrapolasi atau rumusan borong seperti itu untuk seluruh negara. Hati kecil mereka tahu bahawa itu tidak benar.
Kemenangan Umno di Bagan Pinang ialah kedudukan ’status-quo.’ PAS turun sebagai ’underdog’ dan Umno sebagai ’juara menanti’ atau ’incumbent’. Macamlah PAS menang di Bukit Gantang, Penanti dan Manik Urai, atau PKR memenangi kerusi Permatang Pauh. Kelainan hanyalah terdapat pada kerusi Kuala Terengganu yang ditawan oleh PAS dari Umno. Itu boleh berkokok kuat-kuat. Itu lonjakan dan luarbiasa namanya.
Sebaliknya, Najib dan media BN terlalu ghirah untuk meyakinkan bahawa slogan 1-Malaysianya telah diterima rakyat dengan kemenangan Isa. Maka Isa itu 1-Malaysia ke?
Inilah akibat kepemimpinan populis seorang Perdana Menteri yang takut mengambil risiko. Beliau gagal menampilkan orang muda, profesional dan mungkin juga bersih untuk proses penambahbaikan atau ’reengineering’ Umno.
Kini Najib terperangkap dengan kelemahan kepimpinannya sendiri. Umno terlepas peluang di Bagan Pinang untuk memerdekakan ahli, pengundi dan rakyat. Umno mahu terus mencandukan rakyat dengan imbuhan, sogokan dan gula-gula yang mampu ditaja oleh seorang ’taiko’ yang mewah setelah 22 tahun menjadi MB negeri terbanyak itu.
Umno tidak bersedia bermain di pentas ’Politik Baru’ –politik berteraskan pengundi yang dibekalkan maklumat, lantas keberanian memilih sesiapa pun yang mereka tanggap mewakili cita-rasa dan harapan mereka.
Justeru, Najib gagal meyakinkan rakyat seluruhnya bahawa dia komited untuk memerangi rasuah dan politik wang. Mereka tahu bahawa Isa bukan ikon ”pembenteras rasuah” bahkan sebaliknya. Di satu sisi, nampaknya MCA jauh lebih berani membuat tekad perubahan dalam pergolakan dalaman parti itu mutakhir ini. Umno tidak akan berlajar, selagi belum kalah di peringkat Pusat atau Persekutuan.
Apa kurangnya dilema PAS dan Pakatan Rakyat?
No comments:
Post a Comment